Wednesday, April 27, 2011

Tuntutan Tambang Teksi 1 Tempat Duduk Tak Relevan

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2011/04/28

NUTP minta guru diberi elaun perbatuan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat tuntutan tambang teksi satu tempat duduk bagi guru keluar berkursus sudah tidak relevan dan perlu digantikan dengan elaun perbatuan seperti dinikmati kakitangan awam lain.



Berikutan itu, Kementerian Pelajaran dituntut supaya menilai semula sistem berkenaan yang diguna pakai sejak sekian lama supaya ia diperbaharui selaras dengan kehendak kerajaan supaya tidak membebankan kira-kira 430,000 guru di negara ini.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata sekiranya kerajaan dapat menimbangkan perkara ini, ia mampu menjadi hadiah istimewa kepada guru terutama menjelang sambutan Hari Guru 16 Mei nanti.

“Kita tahu jumlah guru di negara ini ramai, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membenarkan guru membuat tuntutan perbatuan sedangkan kakitangan awam lain dibenarkan berbuat demikian.

“Jumlah guru yang keluar kursus juga tidak ramai dalam satu masa.

“Kementerian hanya membenarkan guru membuat tuntutan dengan nilai satu tempat duduk, sedangkan mereka perlu membayar tambang untuk sebuah teksi.
“Bagaimanapun, guru biasanya menggunakan kenderaan mereka sendiri dan kos petrol juga semakin meningkat.

“Jadi, adalah wajar tuntutan perbatuan dipertimbangkan kepada guru,” katanya di sini, semalam.

Hashim berkata, sistem tambang teksi satu tempat duduk sudah dilaksanakan sejak lebih 50 tahun lalu dan ia perlu kepada pembaharuan selaras dengan transformasi negara.

Katanya, kakitangan awam di negara ini boleh membuat tuntutan perbatuan sebanyak 70 sen bagi setiap kilometer tetapi ia tidak membabitkan guru.

“Sepatutnya guru juga mendapat tuntutan perbatuan seperti dinikmati kakitangan awam lain dan buat masa ini, hanya pengetua dan guru besar saja dibenar membuat tuntutan perbatuan jika keluar kursus,” katanya.

Sementara itu, mengulas kajian beban tugas guru yang dilaksanakan jawatankuasa khas bagi menangani masalah itu, Hashim berkata, ia belum selesai dan bebanan tugas guru kini semakin bertambah.

Katanya, NUTP menerima banyak aduan berhubung peningkatan beban tugas guru terutama dengan pelbagai program baru diperkenalkan kementerian selain turut menerima lebih 50 aduan berhubung guru bekerja pada setiap Sabtu.

No comments:

Post a Comment