Wednesday, November 30, 2011

PERTEMUAN DAN PERPISAHAN

Pertemuan dan perpisahan
Adat manusia biasa
Hilang di mata tapi di hati tidak lupa
Berdoalah kita agar aman dan sentosa
Semoga dapat kita berjumpa di lain masa
Semoga dapat kita berjumpa di lain masa

         Begitu jugalah dengan keadaan di Sekolah Kebangsaan Seri Berang. Saban Tahun, kita akan bertemu dan berpisah, bertemu kerana tugas dan berpisah juga kerana tugas, umum kita mengetahui bahawa pada tahun lalu, beberapa orang guru kita telah meninggalkan sekolah kita kerana mengikut arahan bertukar tempat tugasan. Pada tahun ini, kita juga mungkin akan berpisah dengan beberapa sahabat sekerja kita, itupun kerana tugas.
         Umum pasti pernah mendengar dendangan lagu pertemuan dan perpisahan diatas, walaupun liriknya cukup ringkas dan pendek, tetapi ia kadang-kala dapat membuatkan air mata kita mengalir keluar tanpa disedari. Sudah menjadi lumrah alam, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahannya, tidak kiralah dengan apa sebab sekalipun. 
         Kita tidak boleh menolak ketentuan takdir tentang perpisahan ini. Cuma kita berdoalah semoga sahabat-sahabat kita dapat meneruskan perjuangan yang mulia sebagai pendidik ditempat yang baru. Amin
Kenangan Bersama 2011 : siapa pula yang tiada pada 2012 nanti...





اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن، وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Ya Rahman, Ya Aziz, Ya Ghaffar

Pada saat dan detik yang bersejarah ini, kami menghulurkan tangan pengharapan, memohon ihsan dan RahmatMu, agar Engkau anugerahkan kesejahteraan, taufiq dan hidayah, juga kesabaran, ketabahan dan kekuatan kepada.......... (nama yang bertukar). Moga baginya selepas bertukar nanti, kehidupan yang penuh gembira, ceria dan bahagia, serta dikurniakan dengan kesihatan, kesejahteraan, ketenteraman dan ketenangan.

Allahumma Ya MunzilarRahmah wa Ya FatihalBarakah

Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepadanya dengan ganjaran, syafaat dan keredhaan atas segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau curahkan sepanjang bergelar sebagai seorang guru di sekolah ini. Kau limpahkanlah Rahmat dan BerkatMu, sebagai ganjaran kepada semangat juang yang tidak pernah mengenal erti putus asa, di dalam memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pemimpin dan ibu/bapa yang sentiasa berusaha menyumbang tenaga, idea dan kepakaran, demi kecemerlangan anak bangsa. Mudah-mudahan segala jasa, pengorbanan, dan semangat beliau menjadi pendorong untuk kami meneruskan perjuangan sebagai seorang insan pendidik.

Allahumma Ya `Aalim wa Ya QadhialHajat

Jadikanlah kami Ya Allah, daripada kalangan hamba-hambaMu yang taat dan bersyukur. Jauhkanlah kami Ya Allah, daripada melanggari perintahMu. Kurniakanlah kepada kami kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan yang sempurna, fikiran yang waras, minda yang cergas, rezeki yang halal, zuriat dan generasi yang beriman serta kurniakanlah kepada kami segala kebaikan di dunia dan juga di akhirat.


Ya Zal Jalali Wal Ikram

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah pertemuan ini sebagai pertemuan yang diRahmati, dan jadikanlah perpisahan ini sebagai perpisahan yang diBerkati.

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا، وَتَفَرُّقَـَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقاً مَعْصُوْمًا، وَلاَ تَجْعَلِ اللَّهُمَّ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا وَلاَ مَنْ يَتْبَعُنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا.
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأَخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار.ِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ.



"Setiap ada pertemuan pasti ada perpisahan,
Kalau kita tidak ingin berpisah maka janganlah bertemu
tapi kalau sudah bertemu, maka bersiaplah untuk berpisah dengannya."



sksb/mrd

No comments:

Post a Comment