KUALA TERENGGANU - Petang tadi telah diadakan pembentangan Rumusan
Lawatan Kerja Panel Penasihat Sekolah Kecemerlangan ke Terengganu Yang
Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad. Majlis
telah diadakan di PPD Kuala Terengganu yang dihadiri oleh En. Hashim bin
Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, wakil-wakil Ketua Sektor
dan PPD di mana sekolah terlibat. Turut serta ialah Cik Norhanida bt.
Shamsuddin, Pegawai dari Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh
dan Sekolah Kecemerlangan.
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad,
Penasihat Sekolah Kecemerlangan telah mengadakan tinjauan di SM Imtiaz
Besut (SBT), SK Seri Berang, Hulu Terengganu (SKK Fasa 5) dan SMKA Dato'
Haji Abas, Kuala Terengganu (SKK Fasa 7).
Secara umumnya beliau berpuas hati khususnya pemilihan bidang-bidang
kebitaraan seperti Bahasa Arab , Bahasa Inggeris serta kebitaraan dalam
bidang Kokurikulum seperti Catur yang bersifat mencabar minda pelajar.
Tegas beliau bagi sekolah rendah terutamanya pilihan Bahasa Inggeris,
Matematik dan Sains sebagai bidang kebitaran sangat sesuai apa lagi
untuk dilonjakkan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau juga menjelaskan fokus dalam kebitaraan bersifat bahasa perlunya
peningkatan. Setidaknya murid faham, berani bercakap dan kebolehan
berbahasa. Oleh itu beliau menyarankan agar sekolah yang memilih bidang
kebitaraan ini merancang tahap perkembangan dari mudah kepada yang lebih
kompleks kemahirannya dengan mengadakan pelbagai aktiviti.
Selain itu bagi memperkasa dan memperkukuhkan bidang kebitaraan beliau
menyarankan agar diadakan jalinan dengan sekolah lain yang mempunyai
kebitaraan yang sama. Selain kita dapat belajar bagaimana mereka
mengurus dan melaksanakan kebitaraan mereka , para pelajar dapat
berkongsi pengetahuan dan pengalaman tegas beliau.
Menurut beliau juga SKK adalah sekolah hebat dan sekolah terpilih. Bukan
sahaja sumber kewangan kukuh tetapi banyak aspek pengurusan dan
pencapaian yang sekolah lain boleh pelajari.Beliau menyarankan agar SKK
dapat mengambil sekolah angkat yang mundur dan ketinggalan untuk dibantu
sama ada pengurusan atau muridnya. Menurut beliau sekolah adalah
pelaburan dan juga tebusan. Murid-murid yang tidak berpeluang di sekolah
mereka dapat menebus peluang di SKK.
Selain itu beliau juga menyarankan sekolah rendah sebagai asas
persekolahan perlukan "keceriaan" supaya murid sukakan sekolah. Bukan
sahaja fizikal tetapi sosial juga perlu ceria. Buku di perpustakaan
menurut beliau wajar dikelaskan mengikut tahun/tahap bukan dalam sistem
Dewey sahaja. Apa yang penting menurut beliau murid seronok dan mudah
mendapatkan buku-buku yang ada.
Beliau juga berharap PPD dapat membantu SKK di daerah masing-masing
merangka perancangan tiga tahun dari sekarang dan selepas tiga tahu
menilai pencapaian dan mengenalpasti faktor halangan dan kegagalan.
Beliau sangat berpuas hati dan menganggap SMKA Dato' Haji Abas memilih
kebitaraan yang baik mahu melihat perkembangannya apalagi kebitaraan
yang mencabar minda.
Urusetia Sekolah Kecemerlangan merakamkan setinggi penghargaan terima
kasih kepada Penasihat Sekolah Kecemerlangan dan menyarankan kepada
mana-mana sekolah yang ingin bergerak ke arah SKK khususnya dalam
pemilihan dan pengurusan kebitaraan boleh melawat SMKA Dato' Haji Abas.
Dipetik daripada : Unit Sekolah Rendah
unitrendahspsjpnt.blogspot.com
No comments:
Post a Comment