Tuesday, May 12, 2015

VISI KEPIMPINAN PENDIDIKAN NEGERI

Y.Brs Haji Shafruddin bin Hj Ali Hussain
Pengarah Pendidikan Terengganu 

Orang kata berusaha mencapai kecemerlangan adalah lebih mudah dari mempertahankan kecemerlangan itu sendiri. Sejauh mana benarnya pandangan ini sama-sama kita analisa. Apapun sejarah mempertahankan kecemerlangan UPSR terutama pencapaian terbaik 5A berbelas tahun telah Terengganu buktikan. Kemuncak dari keterbilangan itu pada tahun 2014 UPSR Terengganu bukan sahaja mengungguli Percapaian Terbaik 5A tetapi juga terbaik GPS dan terbaik Lulus Semua Mata Pelajaran (LSMP). Apakah tahun 2015 Terengganu mampu mengulanginya dan Tuan Haji Shafruddin Hj Ali Husain, Pengarah Pendidikan yang baru mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh En.Zakaria bin Husain, mantan Pengarah yang lepas ?

Berasaskan tradisi mencintai kecemerlangan yang terpahat di jiwa warga Terengganu semenjak Dato' Cg Abd. Rahim Tahir menjadi pengarah lagi dan tradisi perkongsian visi, turun padang dan kesungguhan Haji Shafruddin Hj Ali Husain, Pengarah yang baru sejak menjadi Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu kita sangat-sangat optimis pendidikan Terengganu akan terus melonjak ke mercu.
 Persoalannya kalau Pengarah Pendidikan sahaja yang berusaha, berkorban menyatakan visi "Memperkasakan Transformasi Pendidikan" ke pelusuk negeri tetapi kepimpinan sekolah, para guru, para pelajar dan para ibubapa serta masyarakat tidak menghayati dan bertindak merealisasikan, semuanya itu hanyalah tinggal sebagai ilusi dan mimpi.

Kita berharap semua peringkat kepimpinan pendidikan di jabatan, ppd dan sekolah memahami, menghayati dan melaksanakan serta berkongsi visi pengarah di semua peringkat untuk memperkasakan lagi transformasi pendidikan sama ada dalam aspek pengurusan, kecemerlangan akademik, kecemerlangan kokurikulum,pembangunan sahsiah dan sebagainya supaya melonjak tinggi dan keluar dari tradisi ketulaan. Namun sebelum pelaksanaan transformasi di lapangan kita harus memulakan dengan transformasi diri ; sikap dan pemikiran. Sikap adalah tanggapan kita terhadap sesuatu. Kalau kita tanggap pendidikan adalah nyawa kecemerlangan agama, bangsa dan negara maka kita akan berusaha bermati-matian mempertahankannya. Sikap yang positif terhadap perubahan menyumbang 80% kepada kecemerlangan yang diharapkan.

Ini cabaran kepimpinan kita . Kita mesti transform sikap, nilai dan pemikiran kita sebagai pemimpin pendidikan dinamik selari dengan visi Pengarah Pendidikan. Sebagai pemimpin pendidikan terutama di sekolah kita mesti mampu dan berupaya 'mempengaruhi' ahli-ahli oraganisasi kita untuk menjayakan visi kepimpinan pendidikan negeri khususnya melalui amal praktik yang boleh dicontohi ahli-ahli organisasi kita.
Justru itu tidak timbul krisis "integriti dan kredibeliti" bila kita menyeru mengajak kepada perubahan namun kita sendiri menjadi penentang dalam diam atau tidak berbuat apa-apa.

Oleh yang demikian, kita mesti selalu menyebut, merancang, melaksana dan memantau agar visi yang kita kongsi itu dilaksanakan sebaik mungkin sehingga ia menjadi fenomena dan berakar dalam jiwa dan pemikiran kita. Dalam bahasa paling mudah kita mesti memimpin organisasi kita yakni sekolah kita sebaik mungkin kerana di sekolah itulah proses transformasi itu berlangsung dan berlaku. Bagaimana kita mahu berkongsi visi dan melaksanakan visi kalau kita tidak "lekat ddasar" di sekolah. Hati jauh dengan sekolah. Hati jauh dengan guru-guru. Hati jauh dengan muruid-murid. Hati jauh dengan ibubapa dan masyarakat yang melingkungi kita.

Saya sangat percaya jika kita berupaya menyediakan diri sebagai pemimpin yang berkeupayaan mempengaruhi organisasi kita dengan ilmu,kemahiran, sahsiah, keperihatinan, keadilan dan kasih sayang maka kita akan lebih  dihormati. Segala arahan dan kehendak kita dilaksanakan dengan senang dan sepenuh hati. Justru itu proses perkongsian dan penghayatan visi kepimpinan pendidikan mudah dicairkan.

Marilah kita memberi sepenuh komitmen dan sokongan kepada Pengarah Pendidikan Negeri untuk terus memimpin dan melonjak pendidikan melalui "Memperkasakan Transformasi Pendidikan". Kita percaya berkat muafakat kita akan terus melonjak cemerlang dan terus menjadi pendahulu. Insyaallah.

Ihsan: Blog Unit Sekolah Rendah JPNT

No comments:

Post a Comment