Wednesday, April 27, 2011

Amal Cara Kerja Produktif


 MUHYIDDIN   bersama isteri,  Puan Sri Noorainee Abdul Rahman bersalaman dengan sebahagian daripada  pegawai Kementerian Pelajaran pada Malam Jasamu Dikenang, malam tadi.

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/04/28

MUHYIDDIN bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman bersalaman dengan sebahagian daripada pegawai Kementerian Pelajaran pada Malam Jasamu Dikenang, malam tadi.
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kakitangan Kementerian Pelajaran mengubah cara bekerja kepada yang lebih produktif dan berkualiti bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar serta inisiatif baru bidang pendidikan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara dasar baru itu Memperkasa Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Dasar 1Murid 1Sukan bagi menghasilkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan kementerian meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, bersikap terbuka, mengutamakan inovasi dan kreativiti serta berani berubah, bagi melonjakkan kualiti pendidikan negara secara substantif dan komprehensif.
“Kementerian Pelajaran memikul tanggungjawab besar dan penting bagi memastikan pendidikan di negara kita dapat melahirkan modal insan bertaraf dunia.

“Oleh itu, usaha komprehensif perlu dirancang, digubal dan dilaksanakan secara berterusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya berucap pada majlis persaraan ketua bahagian dan jabatan Kementerian Pelajaran di sini, malam semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengakui tugas itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan tetapi yakin dengan kesungguhan dan komitmen tinggi warga kementerian, tanggungjawab itu mampu digalas bersama, supaya dasar serta program yang dirancang dapat dilakukan dengan baik.

“Sebenarnya tidak ada suatu kerja pun yang mudah, jika kita sentiasa berfikir dan berusaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap kerja itu.
“Jadi, anggaplah ia adalah satu cabaran besar bagi kita semua dalam memastikan setiap sasaran dan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan sempurna serta pada masa yang sama memuaskan hati pelanggan kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment